1.11.2010
Di penghujung senja itu dia berjalan mencari sebuah harapan. Harapan yang tidak pernah kunjung tiba. Hatinya hendak benar melontar sebuah keluhan tapi bimbang pula keluhan itu akan menjadi rutin hidupnya.
Penat melangkah, akhirnya dia duduk berteleku menghadap lautan yang terbentang luas di hadapannya. Semenjak patah dahan yang berpaut, dia cuba menjadi sandaran adik-adiknya yang berlima itu.
Tiga tahun lepas, ketika ibu bapanya maut dalam kecelakaan jalan raya dan dia pula, hampir hilang nyawa dalam tragedi yang sama, berhempas pulas dia cuba berdiri kembali dalam duka yang sangat menyakitkan itu. Saudara mara yang dahulu sentiasa bersama, mula membawa diri. Akhirnya, tinggal dia dan adik-adiknya yang masih kecil itu untuk terus meneruskan perjuangan dalam arus yang deras ini.
Segulung ijazah yang pernah digenggamnya juga tidak pernah membawanya ke mana. Hingga ke hari ini, dia masih mencari sebuah sinar harapan di hadapan laut itu.
“Kak Sarah, tak mahu balik lagi? Kejap lagi dah masuk waktu maghrib” sapa Zahim sambil menyentuh bahunya lembut.
Terasa ada kasih sayang yang padu di kala sentuhan itu menyapa lembut bahunya Dan tatkala hampir menitiskan mutiara jernih, Sarah menoleh dan sebuah senyuman diukir buat permata hatinya itu.
Hening pagi memberi sinar baru buat dirinya. Usai memanjat doa kerana diberi nyawa dan sebuah keluarga, dia turun ke laut untuk mencari sesuap nasi buat diri dan adik-adiknya. Dan begitulah rutin hariannya setiap hari, hasil tangkapan laut yang kadang-kadang ada dan kadang-kadang tidak itu tidak pernah tidak pernah menjadi beban buat dirinya, malah dia bersyukur kerana masih berpeluang melihat senyuman di wajah adik-adiknya setiap kali dia pulang ke rumah. “ Sarah!”
Suara garau itu menyapa lembut telinganya. Lama benar dia tidak dengar suara lembut itu meyapanya.
“Sarah”
Terasa hampir benar suara itu dengan telinganya sehingga dia kaku seketika. Baki hasil tangkapan itu sudah siap dimasukkan ke dalam plastik. Itu sahaja yang tinggal buat santapan malam nanti.
“Sarah, aku di sini sayang.”
Aku tak perlukan kau, Adam. Dunia aku yang kecil ini tak layak menyambut kau,”balasnya lembut tetapi cukup untuk menyedari kedudukannya di samping lelaki itu.
Berjuta kali dia cuba menjauhkan diri daripada lelaki yang bernama Adam Harith Iskandar itu, tetapi cubaannya itu tidak pernah berjaya. Benar, hatinya tertarik pada budi bahasa lelaki itu tetapi malang sekali, terlalu banyak yang hendak difikirkan selain kehendak hatinya.
“Sarah…”
“Adam, aku mohon pengertian kau, aku punya tanggungjawab besar. Banyak yang aku perlukan selain daripada diriku. Aku tak pernah layak berganding dengan kau, Adam,”beritahunya perlahan.
Dia tahu pasar ikan itu bukan untuk lelaki ternama seperti Adam. Lelaki itu biasa hidup dalam kemewahan sedangkan dirinya pula, hanya layak menjalani kehidupan itu.
“Sarah, kau tak pernah terima hakikat, aku bukan seperti yang kau sangka. Kau tak pernah beri aku peluang untuk terima dirimu seadanya.”
“Aku balik dulu, Dam. Aku doakan kau bertemu dengan insan yang menyayangi dirimu seadanya.”
Dan seperti selalu, dia meninggalkan lelaki itu terpinga-pinga. Sedaya yang mungkin dia cuba membuang wajah lelaki itu sehingga dia tiba di rumahnya.
Dingin malam mengajaknya melihat adik-adiknya yang sedang lena diulit mimpi. Dia mengukir senyuman bila dilihatnya kaki Iman di atas perut Hakimi. Lantas dengan cermat dia membetulkan kedudukan adik-adiknya. Dan seperti selalu, dia mengucup dahi adik-adiknya itu.
Maafkan akak, Angah, Shahrul, Iman, Hakimi, Zahim. Buat masa ini, hanya ini yang mampu akak sediakan buat kalian semua. Akak tahu, hidup kalian tidak sempurna kerana akak tapi akak akan usahakan yang terbaik untuk kalian semua.”
Tanpa diduga, airmata Angah merembes keluar dari kelopak mata yang tertutup rapat itu. Sarah yang masih tidak menjangka reaksi Angah ketika itu, terpaku di situ tetapi tidak lama. Angah terus terbangun dan memeluknya sambil teresak-esak.
“Kak Sarah dah banyak berkorban untuk Angah dan adik-adik. Dulu kak Sarah koma dua minggu, kaki patah tapi kak Sarah tak pernah merungut. Mana ada orang perempuan nak jadi nelayan? Tapi kak Sarah buat. Angah tak tahu macamana nak balas jasa kak Sarah.”
Dengan lembut, bahu adiknya itu diusap. Semenjak kehilangan arwah emak dan ayahnya, tidak pernah sekalipun airmatanya menitis dan dia tidak akan membenarkan airmatanya jatuh walaupun dia terasa hiba yang teramat ketika ini. Tidak akan sekali dia mengaku kalah di hadapan adik-adiknya.
“Akak tak mahu Angah menangis, apa yang akak buat, itu memang untuk adik-adik. Apa yang akak harapkan, adik-adik berjaya supaya tak jadi nelayan macam akak.”
Ketika pulang dari laut tengahari itu, Sarah segera menurunkan hasil tangkapannya ke darat. Belum sempat dia menambat perahu, adik-adiknya sudah menanti di kaki air.
“Kak Sarah!”
Lambaian adik-adiknya menggamit Sarah supaya menghampiri mereka dengan segera.
“Kenapa Kimi?”
Ada surat untuk kak Sarah,” kata Hakimi sambil menyerahkan sampul surat berwarna coklat kepadanya.
Sebenarnya, sudah lama dia tidak menerima surat dari sesiapa pun terutama dari syarikat swasta kerana sejak enam bulan yang lalu, dia menumpukan sepenuh masa kepada kerja menangkap ikan.
“Sukacita dimaklumkan bahawa anda telah ditawarkan jawatan sebagai Pereka Bentuk Dalaman.Sila lapor diri…”
Seakan tidak mempercayai kandungan surat yang dibacanya sebentar tadi, Sarah membaca semula isi surat itu.
“Cubit akak sekali Kimi,”pintanya, membuatkan Hakimi sedikit terkejut.
Lama Hakimi memandang wajahnya, seakan meminta satu kepastian.
“Kenapa kak?”
“Akak dapat kerja Kimi.”
“Alhamdulillah.”
Mendengar ungkapan syukur itu, Sarah seakan terjaga dari mimpinya. Dalam hati dia mengucapkan perkataan yang sama. Isnin depan dia perlu melapor diri. Ini bermakna, dia perlu berhijrah ke kota jika ingin menerima tawaran itu.
Bagaimana dengan rumah peninggalan arwah emak adan ayahnya itu?
Bagaimana denga perahu yang digunakannya untuk menyambung hidupnya?
Bagaimana pula dengan persekolahan adik-adiknya?
“Kak Sarah.”, Kimi menyentak fikiran jauh kakanya.
“Kita balik rumah dulu, Kimi.”
Sebuah senyuman manis dihulur buat adiknya dan persoalan yang masih bersarang dibenaknya dibiarkan sahaja seperti angin laut yang berlalu.
***
Pagi dua hari kemudiannya, Sarah terdiam saat ibu Adam datang untuk membawa lamaran. Lama dia menyepi diri. Sedar kekurangan yang terlalu banyak itu, dia hanya mampu menundukkan wajahnya sahaja.
“Sarah.”
Baru sahaja ibu Adam yang berusia dalam lingkungan 50-an itu memulakan bicara, Sarah cepat-cepat mendahului bicara dalam drama pagi itu.
“Makcik, saya anak yatim piatu. Jarak darjat saya dengan Adam macam pipit dengan enggang. Adam berhak dapat gadis yang lebih baik daripada saya,”jelasnya perlahan.
Lelaki itu mula dikenalinya sejak tiga tahun setengah yang lalu. Mereka bertemu secara kebetulan, ketika itu Adam menjadi salah seorang ahli panel temuduga di salah sebuah firma reka bentuk dalaman. Walaupun tidak berjaya mendapat tempat di firma itu, namun Adam kerap kali menghubunginya.
Pertama kali, ketika bersemuka dengan lelaki itu, Adam terus menyatakan hasrat hatinya untuk menyunting Sarah sebagai suri hidupnya dan dia, terang-terangan melabel lelaki itu sebagai gila.
Sejak awal dahulu hingga kini, walaupun Adam kerap membantunya, tidak pernah barang sekali dia melayan lelaki itu denga sewajarnya. Kerap kali dia menolak hasrat lelaki itu, walaupun dia amat menyayangi sikap Adam yang nyata jujur dan ikhlas hendak menyunting dirinya sebagai teman hidup lelaki itu. Dan Adam pula, tidak pernah sekalipun mengalah dengan dirinya walaupun sudah ditolak berkali-kali.
“Sarah, kita semua tak ada beza pun. Di sisi Allah, hanya iman dan takwa sahaja yang membezakan kita. Adam memilih Sarah sebab apa yang ada pada diri Sarah. Makcik yakin dan pasti, pilihan Adam tepat.”
“Sarah ada adik-adik, makcik. Adik-adik Sarah tanggungjawab Sarah. Sarah tak mahu berpisah dengan adik-adik. Hanya adik-adik harta Sarah dunia akhirat. Kalau Sarah mengguris perasaan makcik, Sarah minta maaf tapi Sarah cukup bimbang kalau Adam atau sesiapa sahaja tidak dapat menerima adik-adik Sarah. Adik Sarah bukan seorang, tetapi lima orang, makcik.”
Perlahan dia meluahkan kebimbangannya. Selepas itu, dia lama menyepi sebelum menyambung kembali bicaranya.
“Sarah tahu, selepas berkahwin tanggungjawab Sarah selepas berkahwin hanya pada suami tapi adik-adik Sarah ini bagaimana, makcik? Tak sanggup Sarah biarkan mereka terkapai. Sebab itu Sarah mengharapkan pertimbangan Adam atau sesiapa sahaja. Sarah mahu jaga adik-adik Sarah sampai mereka berjaya dalam hidup, makcik. Sarah akan jaga mereka sampai mereka tak perlukan Sarah lagi.
“Kalau begitu, Angah dengan adik-adik yang lain tak perlukan kak Sarah lagi. Kami boleh hidup tanpa kak Sarah. Kak Sarah berkahwinlah. Angah tahu abang Adam baik. Tak akan ada orang yang lebih baik selain abang Adam yang boleh jaga kak Sarah sepanjang hayat. Kak Sarah tak perlu bimbangkan kami sebab kami dah besar. Kalau kak Sarah yang perempuan turun ke laut, boleh tangkap ikan untuk sara kami, kenapa Angah yang lelaki ini tak boleh turun laut untuk sara hidup?”tutur Angah dengan perlahan tetapi cukup untuk menyentuh perasaan halusnya.
Selama ini dia berjaya menutup rasa sedihnya tetapi tidak pada hari ini. Kata-kata angah terkesan hingga ke hati. Tanpa malu dan rasa bersalah, dia menitiskan airmata di hadapan Hajjah Normah.
Sarah membulatkan tekad. Tawaran sebagai pereka bentuk dalaman di firma Indah Sejarah akan ditolaknya. Hampir seminggu memikirkannya, ditambah lagi dengan petunjuk yang diterimanya selepas tiga malam menunaikan solat istiqarah, dia nekad.
Mungkin itu yang terbaik buat diri dan adik-adiknya. Dengan sejumlah simpanan yang sudah melebihi lima ribu ringgit, dia tahu dia sudah boleh mengusahakan perniagaan secara kecil-kecilan. Sudah tiba masa untuk dia bangkit secara perlahan-lahan membina kehidupan yang cemerlang.
“Sarah.”
Namanya diseru perlahan. Sarah tergamam apabila melihat keadaan Adam yang tidak terurus ketika itu.
“Adam, kenapa kau?”
“Aku rindukan kau, Sarah.”
“Adam…”
“Kenapa kau tak pernah beri aku peluang, Sarah?”
“Aku tak layak untuk sesiapapun, Adam. Aku tak layak untuk beri peluang pada sesiapa pun,”jawabnya perlahan.
Sehingga kini dia masih belum dapat memberi kebahagiaan buat adik-adiknya dan bagaimana dia dapat mencari kebahagiaan buat dirinya?
“Aku sayangkan kau, Sarah. Kau tahu aku ikhlas jadikan kau sebagai isteriku dunia akhirat dan kau juga tahu aku tidak akan sesekali mengabaikan adik-adikmu.”
Tulus pengakuan itu jelas kedengaran di telinganya. Adam menghampirinya dan dia semakin lama semakin dapat dilihat betapa lemahnya lelaki itu ketika ini. Adam sakitkah?
“Aku sayangkan kau, Sarah. Dunia akhirat aku sayangkan kau. Aku harap Sarah, besar harapanku agar kau sudi menjadi isteriku, dunia akhirat.”
Tidak sempat dia menjawab, lelaki itu rebah di hujung kakinya. Mata itu terpejam rapat hingga dia cemas tiba-tiba.
***
Hampir dua tahun berlalu dan kini, perniagaan keropok lekor yang diusahakannya secara kecil-kecilan telah mula berkembang. Berkat usahanya dan keluarganya, perniagaannya semakin maju.
“Mama…,”panggil Zulaikha.
Larian si kecil itu menghiburkan hatinya. Bengkang-bengkok, ke sana ke sini ketika itu dia berlari dikejar ayahnya, Mohd Adam Iskandar. Teringat saat ketika lelaki itu rebah ketika melamarnya dua tahun yang lepas.
Menggeletar seluruh tubuhnya saat itu. Selepas dibawa ke hospital, baru dia tahu bahawa lelaki itu diserang demam denggi. Semenjak itu, baru dia belajar tentang erti kasih terhadap Adam. Baru dia sedar bahawa dia sangat memerlukan lelaki itu dalam seluruh kehidupannya. Dan apabila Adam mulai pulih, tanpa berselindung dia mengakui perasaan sayangnya itu.
Dan kini, selepas dua tahun menjadi suri hidup kepada Adam, mereka dianugerahkan seorang puteri. Dia tidak lagi turun ke laut sebaliknya mengusahakan perniagaan keropok lekor berkat sokongan Adam dan sokongan keluarga mertuanya. Angah? Alhamdulillah Angah kini sedang dalam persiapan untuk menyambung pelajarannya dalam bidang perubatan di Ireland.
Shahrul sedang belajar di MRSM Terendak manakala Iman belajar di Sekolah Menengah Sains Sultan Ahmad Shah, Kuantan. Yang setia berada di sisinya ketika ini adalah Hakimi dan Zahim kerana masing-masing berada di sekolah rendah. Alhamdulillah. Dia mempunyai sebuah keluarga yang cukup sempurna.
“Mama, papa!” jerit Zulaikha sambil merangkul kakinya.
Sarah ketawa kecil sambil mendukung Zulaikha yang cukup agresif kerana mahu mengelak daripada usikan ayahnya. Adam menghampiri Sarah dan merangkul pinggangnya. Hidung si kecil itu dicuit beberapa kali.
“Abang kuat sangat menyakat Zulaikha.”
“Anak abang ni comel, Sarah. Abang geram nak cubit selalu.”
“Terima kasih Sarah sebab sudi terima abang dalam hidup Sarah. Terima kasih juga buat Sarah kerana buat abang rasa sempurna. Terima kasih untuk segala-galanya.”
Tulus kata-kata itu dibisikkan ke telinganya. Hanya sebuah senyman diukir buat suami tercinta. Dalam hati, dia tidak pernah putus berdoa supaya bahagia di dunia dan akhirat sentiasa menjadi miliknya dan suaminya.
“Pagi besok kita ziarah kubur arwah mak dan ayah, ya bang?”
Tiada jawapan selain rangkulan yang semakin erat di pinggang Sarah Suara si kecil itu pun terus ceria kala ayahnya setia mengusiknya. Sarah tidak perlu meneka kerana jawapan yang diberikan sudah pasti di sebalik senyuman itu.
No comments:
Post a Comment