Friday, January 16, 2009

Tips Memilih Kasut



Kasut tumit lebih dua inci kelihatan cantik tetapi ia tidak boleh pakai lebih dari tiga jam setiap hari kerana menjejaskan kesihatan

BERKASUT tumit tinggi memang kegemaran sesetengah wanita. Selain kelihatan cantik dan bergaya, kasut tumit tinggi juga seksi untuk digayakan.

Bagaimanapun, jika anda sering sakit kaki dan belakang, ada baiknya anda melihat semula ketinggian kasut anda.

Mengikut Persatuan Ortopedik Kaki dan Buku Lali Amerika (AOFAS), wanita seharusnya memakai kasut bertumit dengan tidak melebihi ketinggian dua inci atau setengah inci. Malah, dengan ketinggian begitupun, ia tidak boleh dipakai lebih dari tiga jam setiap hari.

Justeru, bagus juga jika anda tanya diri sendiri adakah anda menghabiskan sehari masa bekerja dengan memakai kasut bertumit tinggi? Adakah kasut itu benar-benar sesuai untuk anda? Bila kali terakhir anda mengukur kaki sebelum membeli sepasang kasut baru?

Mungkin anda tidak tahu tetapi masalah kesihatan seperti sakit tumit, bunions, tumit pecah juga kerosakan saraf boleh dicetuskan oleh sepasang kasut bertumit tinggi yang anda pakai.

Tanpa anda sedar, anda membayar harga beratus ringgit untuk sepasang kasut cantik tetapi tidak sesuai untuk kaki anda.

Kaki memiliki jaringan 26 tulang, 33 sendi, 107 ligamen dan 31 urat selain urat saraf dan saluran darah. Dalam sehari, kaki melangkah ribuan kilometer, justeru, kaki memerlukan belaian dan jagaan yang sepatutnya.

Setiap orang tidak lahir dengan bentuk kaki yang sama. Kadang kala individu memiliki lengkung (arch) yang tinggi pada sebelah kaki saja manakala sebelah lagi memiliki lengkung sederhana tinggi. Oleh itu mereka kerap tergelincir (dari kasut) atau berjalan terjengket-jengket.

Pemakaian kasut seharusnya mengikut kaki bukannya kaki mengikut kasut. Tetapi apa yang berlaku sebaliknya. Justeru, bukan luar biasa kasut bertumit tinggi sinonim dengan gaya. Apatah lagi biasanya kasut yang direka untuk kesihatan kaki tampil dengan gaya kurang menarik!

Mengapa pemakaian kasut bertumit tinggi yang kerap tidak baik untuk kesihatan? Sebabnya, pemakaian kasut tumit tinggi mengumpulkan seluruh tekanan kepada hujung jari apabila tumit diangkat lebih tinggi. Jika tidak tekanan tertumpu di hujung jari ia akan tertumpu di lengkung atau tapak kaki yang akhirnya mencetuskan sakit belakang.

Tumit tinggi juga memaksa otot berkerja keras, meletakkan bebanan kepada sendi lutut dan tendon (urat yang menghubungkan isi ke tulang) yang merintang daripada tempurung lutut ke tulang paha. Berbanding dengan berjalan berkaki ayam, tumit tinggi meningkatkan tekanan kepada bahagian dalam lutut 26 peratus. Dalam jangka masa panjang, ia membawa masalah kesihatan seperti osteoarthritis,

Ramai wanita sanggup bayar beratus ringgit untuk sepasang kasut.

Ada beberapa kajian berkaitan pemakaian kasut bertumit tinggi. Antaranya kajian yang dilakukan oleh profesor dan Pengerusi Jabatan Perubatan Fizikal dan Pemulihan di Sekolah Perubatan, Universiti Virginia, Dr D Casey Kerrigan.

Kajian itu mendapati berjalan dengan kasut bertumit tinggi dua inci meningkatkan ketegangan pada sebahagian lutut yang sangat berisiko pada masalah osteoarthritis dan ia merangkumi pada semua jenis kasut bertumit tinggi tidak terhad pada stilettos.

Sebelum adanya kajian ini masalah lutut osteoarthritis selalunya dikaitkan dengan obesiti. Osteoarthritis, kadang kala dikenali juga sebagai ‘wear-and-tear arthritis’ terjadi kerana kemerosotan cecair rawan pada sendi. Apabila ia merosot, tulang akan bergesel menyebabkan kesakitan dan ia boleh memberi kesan pada semua peringkat umur.

Berapa tinggi dikira tinggi? Kata Dr Kerrigan, memakai kasut bertumit tinggi seperti merokok. Kekerapan memakai kasut bertumit tinggi akan membuatkan anda berisiko untuk berhadapan dengan arthritis. Jadi, jangan memakai kasut tumit tinggi dan dua inci itu sudah cukup tinggi.

Begitupun, tidak dapat dinafikan kebanyakan kasut bertumit tinggi memang cantik untuk digayakan. Pelbagai warna dan gaya memang mempersonakan. Justeru, walaupun kebanyakan wanita tahu kemungkinan negatif akibat kekerapan memakai kasut bertumit tinggi, mereka masih selesa memilihnya.

Oleh itu, ada sesetengah pengeluar kasut bertumit tinggi membekalkan pelapik kaki kepada pengguna. Ia membantu menyeimbangkan kaki anda terutama bagi anda yang memiliki kadar ketinggian lengkung kaki yang berbeza antara kedua kaki.


Tips memilih kasut

# Pilih kasut yang memiliki tumit rendah (satu inci ke bawah) dan bertumit lebar.
# Pastikan saiz anda kerana kaki menjadi panjang dan lebar seiring usia.
# Jangan bergantung pada saiz kasut saja kerana saiz kasut berbeza-beza untuk setiap pengeluar.
# Bandingkan kelebaran kasut dengan kelebaran kaki. Elakkan kasut yang ‘menyesakkan’ kaki anda walaupun anda sangat menyukainya.
# Cuba kasut pada kedua-dua belah kaki. Ini penting kerana kebanyakan orang memiliki kaki yang besar sebelah.
# Beli kasut pada waktu petang atau malam.
# Tanya pekedai tentang polisi memulangkan barangan kerana mungkin selepas sehari, anda dapati kasut itu sebenarnya tidak sesuai untuk kaki anda.
# Ketahui materialnya. Pastikan material itu membenarkan kaki anda ‘bernafas’ seperti kulit.
# Jika membeli kasut sukan, pastikan ia tidak terlalu berat dan ketat selain mempunyai sistem ampuan kaki yang stabil.
# Definisi kasut yang selesa adalah kasut yang diperbuat dengan cermat dan kemas, tumit tidak terlalu tinggi dan mampu menampung kaki dengan stabil.
# Jangan membeli kasut kerana jenama atau harga, sebaliknya pilih kasut berdasarkan kesesuaiannya pada kaki anda.


Kredit to Diana for give the idea..Thankz a lot..

No comments: